There was an error in this gadget

Tuesday, March 13, 2012

Langkah Mencegah Kebakaran

Elemen-elemen dalam segitiga kebakaran adalah HABA, OKSIGEN dan BAHAN, dimana tindak balas kimia berantai diantara ketiga-ketiga elemen tersebut boleh menyebabkan kebakaran. Pengasingan salah satu daripada tiga elemen tersebut boleh mencegah kebakaran daripada berlaku.

Adalah mustahil bagi kita untuk mengasingkan oksigen dari udara. Jadi, apa yang boleh lakukan untuk mencegah kebakaran ialah dengan cara mengenalpasti bahan serta haba dan mengelakkan percantuman kedua-dua bahan tersebut.

Pencegahan bermakna mengawal/mengelakkan tindak balas kimia berantai daripada berlaku iaitu dengan cara pengasingan elemen bahan dan elemen haba.

Siapa yang Bertanggungjawab?

Pencegah kebakaran adalah menjadi tangungjawab setiap penghuni dalam sebuah rumah.

Kenapa Perlu Pencegahan?

Pemilik ataupun penyewa merupakan penerima utama akibat daripada kebakaran. Kealpaan diri/jiran boleh kehilangan harta benda dan keadaan akan bertambah buruk sekiranya terdapat nyawa yang terkorban. Oleh itu pencegahan adalah amat perlu.

Bahaya Kebakaran di Rumah

Anda boleh menyelamatkan keluarga dan harta benda anda daripada kemusnahan/ kehilangan akibat dari kebakaran jika anda mengambil langkah-langkah keselamatan pencegahan kebakaran yang asas.

Merokok

Kecuaian akibat merokok adalah satu punca utama kebakaran dirumah. Jika anda merokok, gunakan bekas abu rokok yang besar dan berat. Jangan biarkan bekas abu rokok menjadi penuh yang boleh menyebabkan habuk panas terjatuh. Pastikan putung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.

Jangan sekali-kali merokok diatas katil atau setelah mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.

Mancis dan Pemetik Api

Mancis dan pemetik api diletakkan ditempat yang tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Gas Memasak

(LPG - Liquified Petroleum Gas / Gas Petroleum Cecair)

-Gas LPG lebih berat dari udara
-Tidak berbau
-Tidak berwarna
-Gas yang mudah terbakar (contoh: percikan suis elektrik)
-Kandungan utama dalam LPG adalah adalah gas propane dan butane dimana kebakaran wap gas-gas ini diruang udara boleh mencapai tahap kepanasan sehingga 2,000°C.
Terdapat bauran yang dicampur iaitu ethyl mercaptane. Biasakan dengan bau yang dikeluarkan oleh gas LPG yang disengajakan/tidaksengajakan.

-Gas yang bebas dari selinder akan mencari tempat yang terendah dan mengalir sejauh yang mungkin. Jika dalam pengalirannya ia bertemu dengan percikan api, maka gas akan terbakar sehingga titik mula bocor. Jika percantumannya dalam kuantiti yang banyak, kemungkinan berlakunya letupan adalah tinggi.

Keselamatan Ketika Memasak

Jangan memasak apabila anda berasa mengantuk, pening, keracunan atau setelah mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.

-Jangan biarkan aktiviti memasak tanpa diawasi.
-Elakan pemegang periuk, tuala atau sebarang kelengkapan diletakan berhampiran dengan alat pembakar seperti ketuhar.
-Jangan biarkan kanak-kanak atau binatang peliharaan anda bermain berhampiran dengan dapur yang sedang digunakan (amalkan kawasan zon bebas kanak-kanak, jarak tiga kaki atau satu meter).
-Jangan letakan sebarang bahan mudah terbakar seperti kain, kertas, plastik terlalu hampir dengan dapur memasak.
-Pastikan rak dapur anda bersih. Kotoran dari bahan masakan yang berminyak dan dapur (tumpahan bahan masakakan) boleh disambar api.
-Gunakan pakaian yang tidak longgar beserta lengan pendek bagi mengelakan pakian dari bersentuhan dengan api semasa memasak.
-Selalu gunakan sarung tangan yang mempunyai ketahanan api. Berhati-hati apabila menggunakan sarung tangan yang basah kerana air pada sarung tangan akan menjadi stim yang boleh menyebabkan tanagn anda melecur.
-Pusingkan pemegang periuk kearah dalam bagi mengelakan dilanggar atau ditarik oleh kana-kanak.
-Makanan yang dimasak dalam microwave boleh menghasilkan tahap kepanasan yang terlalu tinggi. Bukakan penutup dengan cermat bagi mengelakkan sebarang stim.
-Ingatkan kanak-kanak bahawa penutup yang panas amat merbahaya.
-Belajar cara-cara untuk memadam kebakaran kecil.

Kanak-Kanak Bermain Api

Kanak-kanak memang bersifat ingin tahu dan sentiasa tertarik dengan api. Oleh itu, anda tidak boleh mengharapkan mereka untuk memahami bahaya api tersebut.

Ajarlah anak anda tentang keselamatan kebakaran yang asas terutamanya berkaitan dengan mancis dan pemetik api serta jelaskan bahawa kedua-dua adalah kegunaan yang tinggi dan selamat supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Litar dan Peralatan Elektrik

Peralatan elektrik boleh menyebabkan kebakaran melalui percitkan atau apabila ia terlalu panas. Guna perkakas elektrik bagi tujuan yang dinyatakan sahaja dan ia sentiasa dipasang, diselenggara dan dibaiki oleh seorang yang bertauliah.

Fius dan Pemutus Litar

Fius dan pemutus litar direka untuk memutuskan aliran elektrik dari sumber kuasa jika berlaku lebihan aliran arus. Pastikan rintangan dalam fius adalah sama seperti yang diperlukan bagi sesuatu perkakas elektrik. Jika fius terputus, kenalpasti masalahnya dahulu sebelum mengantikan fius baru. Jangan gunakan fius yang tidak diiktiraf seperti contoh, menggantikan fius yang terbakar dengan wayar.

Elakkan daripada menggunakan perkakas elektrik secara berterusan.

Pastikan terdapat ruang yang mencukupi diantara perkakas elektrik dengan dinding supaya terdapat pengaliran udara bagi mengelakkan kepanasan.

Periksa semua penyambung elektrik bagi memastikan tiada retakan, wayar terdedah dan longgar. Gantikan wayar yang buruk atau wayar yang kerap panas ketika digunakan. Pastikan semua pendawaian diperiksa dari masa ke semasa bagi mengenalpasti dan mengatasi kerosakan.

Lampu- Gunakan lampu yang mempunyai tahap pengaliran elektri yang bersesuaian sahaja.

Lilin dan Bahayanya

Dikebanyakkan rumah, lilin biasanya dijadikan alternatif sumber cahaya jika bekalan elektrik terputus. Pengendalian lilin yang tidak betul boleh menyebabkan bencana dan statistik menunjukkan bahawa kebakaran rumah akibat salah kendali lilin kian meningkat. Jika anda perlu gunakan lilin, pastikan anda letakkan lilin atas tempat yang stabil. Tempat itu mestilah bukan daripada bahan mudah bakar disamping mempunyai ruang yang mencukupi bagi mengumpul titisan lilin atau jika lilin terjatuh.

-Jangan biarkan lilin atau sebarang punca api terdedah tanpa diawasi walaupun seketika,terutamanya apabila terdapat kanak-kanak.
-Padamkan semua lilin sebelum meninggalkan bilik atau sebelum tidur.
-Letakkan lilin jauh dari dinding. Langsir, barangan perhiasan dan cecair mudah bakar.
-Elakkan dari terjatuh akibat dilanggar oleh binatang peliharaan atau tikus dan jika terjatuh pastikan ia tidak berhampiran/ terkena bahan mudah bakar.
-Padamkan dan sejukkan batang mancis yang digunakan bagi menghidupkan lilin sebelum membuangnya.
-Elakkan memasang lilin didalam bilik tidur. Jika tidak dapat dielakkan, pastikan lilin diletakkan ditempat yang bebas dari langsir, kain dan sebagainya.
-Pastikan lilin yang kedudukannya diatas jauh dari kerusi atau karpet untuk mengelakkan terbakar jika terjatuh.
-Jangan gunakan lilin yang dipasang bagi melihat/menerangi semasa menambah cecair mudah bakar.
-Sentiasa gunakan lampu suluh dan bateri sebagai pengganti lilin.

Cecair Mudah Bakar

Semua cecair mudah bakar adalah merbahaya kerana wap yang dikeluarkan oleh cecair mudah bakar boleh membakar dengan mudah. Wap gasolin boleh membakar dengan percikan sahaja.

--Jauhkan semua bekas/ tin bertekanan serta mempunyai aerosol seperti penyembur minyak wangi, penyembur rambut, penyembur racun serangga dan sebagainya daripada punca api yang terdedah. Gas yang terdapat dalam bekas/tin ini boleh mengembang dengan pantas apabila dipanaskan dan boleh meletup serta membakar dengan dasyat.
Simpan bekas-bekas yang mengandungi cecair mudah bakar seperti minyak tanah, minyak petrol dan sebagainya jauh dan selamat dari punca api yang terdedah dan juga kanak-kanak.
-Jangan merokok atau menyalakan rokok semasa mengisi minyak tanah kenderaan. Wap yang dibebaskan semasa mengisi minyak (petrol/diesel) adalah gas mudah bakar.
-Letakkan bekas mudah alih di lantai sebelum mengisi cecair mudah bakar, contohnya petrol. Jangan mengisi kedalam bekas semasa dalam kenderaan.
-Jangan diisi bekas sehingga penuh. Wap cecair mudah bakar akan mengembang dibawah cuaca biasa dan menambahkan tekanan dalam bekas yang penuh. Biarkan sedikit ruang lega dalam bekas untuk tujuan ini.

Sifat bebas kebakaran perlu ada dalam diri seseorang. Haba, api, cecair mudah bakar dan perkakas elektrik memang perlu dan berguna kepada kita tetapi harus diingat bahawa benda-benda ini mempunyai risiko kebakaran jika disalah kendalikan.

Ubat Nyamuk / Pelita

Satu lagi punca kebakaran rumah ialah ubat nyamuk yang dugunakan dengan cara-cara yang betul. Semasa meletakkan ubat nyamuk yang dipasang anda hendaklah memastikannya:

-Tidak berhampiran dengan langsir.
-Gunakan bekas yang mempunyai penutup.
-Jauhkan dari tempat mainan kanak-kanak atau kanak-kanak itu sendiri.
-Jauhi dari hiasan rumah.
-Jauhi dari tempat tidur bagi mengelakan dari terkana selimut.
-Awasi kemungkinan dilanggar oleh binatang peliharaan dan juga yang bukan peliharaan seperti tikus.
-Pastikan tempat yang sesuai serta jauh dari bahan mudah bakar seperti karpet, sofa dan sebagainya.
-Peyelenggaraan Pili Bomba

Jadikan pili bomba berhampiran rumah anda sebagai teman anda. Tujuan pili bomba diadakan adalah untuk menyalurkan air kepada jentera bomba semasa digunakan bagi memadam bencana kebakaran. Ia boleh rosak akibat daripada perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh penghuni sekitarnya. Contohnya memasukkan sampah-sarap, kaca dan sebagainya dalam lubang valve.Perkara ini akan melambatkan pergerakan anggota bomba bagi mendapatkan air dari pili berkenaan dan akhirnya akan merugikan anda.

Bagaimana Anda Boleh Membantu

-Periksa pili bomba berhampiran rumah anda.
-Pastikan chamber bebas dari sebarang benda asing.
-Pastikan tiada apa-apa ganguan terhadap pili.
-Boleh dilihat dari jauh.
-Tidak berkarat.
-Memaklumkan kepada pihak Bomba atau JBA jika ada kerosakan.
-Tidak terkambus dengan tanah.

Lalang dan Semak

Tahukah anda bahawa lalang dan semak yang tidak dijaga atau tidak dipotong dalam kawasan rumah anda atau dikawasan rumah jiran anda boleh menyebabkan kebakaran.

Diantara tanah dan rumput biasanya terdapat satu lapisan daun-daun dan akar-akar yang kering diatas tanah. Jika lapisan ini terkena punca api yang terdedah seperti puntung rokok, ia boleh merebak dengan pantas dan membakar apa-apa sahaja yang berada di laluannya termasuk rumah anda.

Apa yang anda boleh lakukan ialah mengingatkan diri anda dan juga jiran-jiran anda bahawa rumput dan lalang yang panjang serta tidak terurus boleh menyebabkan anda kerugian akibat kebakaran dan boleh menjadi tempat binatang merbahaya seperti ular, kalajengking dan sebagainya.


Sources: BOMBA PAHANG (http://www.bombaphg.gov.my)

Alat Pemadam Api

Kepentingan

Kebakaran yang tidak dikawal pada peringkat permulaan akan memberi kesan kesengsaraan.

Alat pemadam api boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda dengan memadamkan kebakaran diperingkat awal dan membantu mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan Bomba.

Menurut teori standard temperature curve, masa yang sesuai memadamkan sesuatu kebakaran adalah diantara 1 hingga 4 minit pertama. Namun demikian jangka masa yang kritikal ini adalah amat sukar bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk sampai ke tempat kebakaran. Kebanyakan alat pemadam api yang digunakan di Malaysia adalah terdiri daripada jenis ABC dan jenis CO2.

Adalah penting mengetahui tentang kelas-kelas api supaya anda dapat menggunakan media pemadaman yang sesuai.

Kelas-Kelas Api, Punca dan Bahan Pemadaman


Kelas ‘A'- Api Pepejal
Jenis Bahan - Kayu, Kertas, Kain
Jenis Pemadam Api - Air & Debu Kering

Kelas ‘B' - Api Cecair
Jenis Bahan - Minyak, Cat, Varnish, Plastik
Jenis Pemadam Api - Buih, Debu Kering & CO2

Kelas ‘C'- Api Gas
Jenis Bahan - Gas Butana, Gas Acetylene
Jenis Pemadam Api - Debu Kering, CO2

Kelas ‘D'- Api Logam
Jenis Bahan - Logam Potassium, Logam
Sodium, Logam Kalsium
dan Logam Magnesium
Jenis Pemadam Api - Debu Kering


Kelas-Kelas Api

Secara umumnya terdapat 4 kelas api. Anda perlu mengetahuinya supaya anda dapat mengenal pasti kelas api yang terlibat serta media pemadaman yang sesuai untuk memadamkannya. Sila lihat jadual di atas yang memperincikan kelas api dan media pemadaman yang sesuai.

Berdasarkan jadual di atas, terdapat 4 kelas api dan setiap kelas menggunakan alat pemadam api yang berbeza. Namun demikian bagi mengelakkan kekeliruan dalam memilih media pemadaman yang sesuai, anda disyorkan membeli alat pemadam api jenis ABC. Jenis ini besifat serba guna dan dapat memadamkan api dari jenis kelas A, B, dan C yang dikategorikan sebagai common fires.

Kebakaran Logam

Kebakaran melibatkan logam jarang berlaku dirumah kerana ianya memerlukan satu sumber haba yang amat tinggi untuk membakar, dengan itu adalah tidak praktikal untuk mengadakan media pemadaman untuk kelas ‘D' kerana ianya dikategorikan sebagai uncommon fires.

Pemadam Api Jenis Debu Kering ABC

Pemadam api jenis debu kering ABC biasanya menggunakan bahan Sadium Bicarbonate iaitu sejenis bahan yang terbukti selamat digunakan dan amat berkesan untuk memadam kebakaran dari kelas A, B dan C dengan cara menyelimut serta mengganggu tindakbalas berantai sesuatu kebakaran.

Pemadam Api Jenis CO2

Pemadam api jenis CO2 (karbon dioksida) adalah agen pemadam yang bersih (clean agent) dan tidak akan merosakkan komponen-komponen sensitif peralatan elektrik seperti komponen komputer. Sekiranya anda tidak mempunyai pemadam api jenis CO2, pemadam api jenis ABC debu kering boleh digunakan.

Teknik Mengawal Kebakaran Kecil

Pastikan keselamatan anda dan orang lain terjamin.
Pastikan semua penghuni telah meninggalkan / keluar rumah.
Pastikan Jabatan Bomba telah dipanggil.
Pastikan saiz api masih kecil dan belum merebak.
Pastikan paras asap tidak menjejaskan pernafasan dan mengaburkan pemandangan anda.
Pastikan anda membelakangkan jalan pelepasan ketika melawan kebakaran, kerana sekiranya anda gagal memadamkan kebakaran, maka anda tahu bahawa jalan pelepasan adalah dibelakang anda.
Sekiranya api gagal dipadamkan dan menjadi tidak terkawal, tinggalkan tempat tersebut. Pastikan anda menutup pintu terlebih dahulu untuk melambatkan api dan asap dari merebak ke ruang lain.

Tempat Menyimpan Alat Pemadam Api

Mudah dilihat.
Mudah dicapai.
Tempat berisiko tinggi
Laluan keluar

Kaedah Menggunakan Alat Pemadam Api

Anda hanya perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

P- Pull - Cabutkan pin
A- Aim - Halakan nozel ke pangkal (base) api
S- Squeeze - Tekan tuil (lever)
S- Sweep - Layangkan nozel ke kiri dan kanan

Panduan Membeli Alat Pemadam Api

Sekiranya anda ingin membeli alat pemadam api, pastikan anda mendapat maklumat dan keterangan yang lengkap daripada pihak pembekal mengenai pemasangan, penyelenggaraan, pengujian dan penggunaannya ataupun hubungi Balai Bomba dan Penyelamat yang berhampiran untuk nasihat.

Pastikan anda membeli pemadam api yang mempunyai kelulusan SIRIM.

Peringatan

Alat pemadam api adalah amat penting untuk memadam kebakaran di peringkat awal. Sekiranya anda tidak memiliki alat pemadam api dirumah, peluang untuk memadamkan kebakaran diperingkat awal adalah amat tipis.

Ingatlah alat pemadam api adalah amat penting supaya anda dapat membunuh api itu, sebelum ianya membunuh anda dan ahli keluarga anda.


Sources: BOMBA PAHANG (http://www.bombaphg.gov.my)

Alat Pengesan Asap

Kepentingan

Sebab utama kematian akibat kebakaran dirumah adalah kerana mereka lambat menyedari tentang sesuatu kebakaran (tiada penggera). Kebanyakan kes kematian berlaku di rumah ketika penghuni rumah sedang tidur (diantara 12.00 pagi hingga 05.00 pagi). Amaran awal adalah amat penting kerana api dan asap merebak dengan cepat. Karbon monoksida iaitu gas yang terhasil dalam sesuatu kebakaran akan membuat anda tidak sedarkan diri sekiranya tiada amaran awal untuk mengejutkan anda dari tidur.

Fungsi
-Memberi amaran awal sekiranya berlaku sesuatu kebakaran dimana membolehkan anda bertindak dengan cepat untuk:
-Memberikan amaran segera kepada penghuni lain supaya nyawa dan harta benda dapat diselamatkan.
-Membolehkan anda mengambil tindakan yang perlu untuk memadamkan kebakaran.
-Memberi anda lebih masa untuk menyelamatkan diri sekiranya api dalam keadaan tidak terkawal.

Kajian menunjukkan bahawa peluang untuk menyelamatkan diri adalah 50% lebih tinggi sekiranya alat pengesan asap dipasangkan dirumah anda berbanding dengan rumah yang tidak memilikinya.

Jenis-Jenis
Untuk pemasangan dirumah anda, pengesan asap jenis kuasa tersendiri (kuasa bateri) adalah sesuai. Pada masa kini, di pasaran terdapat dua jenis utama pengesan asap yang berasaskan system pengesan deria iaitu jenis ion dan foto elektrik.

Kekerapan Menguji
Semua alat pengesan asap harus diuji pada setiap bulan.

Tempat yang Sesuai
Jika rumah anda mempunyai beberapa tingkat, adalah disyorkan supaya memasang pengesan asap disetiap tingkat. Tempat yang sesuai adalah pada siling, didalam kurungan tangga, bilik tidur dan ruang tamu.

Maklumat mengenai cara pemasangan lokasi, penyelenggaraan pengujian dan sebagainya boleh diperolehi daripada pihak pembekal atau melalui katalog.
Anda juga boleh mendapatpan maklumat daripada balai bomba dan penyelamat yang berhampiran sekiranya anda memerlukan keterangan lanjut.

Pengesan Haba
Tempat-tempat dimana alat pengesan asap tidak sesuai seperti ruang dapur adalah digalakkan untuk memasang pengesan haba.

Peringatan
Sekiranya kebakaran berlaku dan anda tidak mempunyai pengesan asap untuk mengejutkan anda dari tidur, peluang anda untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda adalah amat tipis. Ini adalah kerana semasa kebakaran, tempoh masa menjadi musuh utama. Statistik membuktikan bahawa kebanyakan kes-kes kematian ketika kebakaran di rumah berlaku sewaktu orang sedang tidur dan tiada sebarang amaran awal untuk mengejutkan mereka.


Sources: BOMBA PAHANG (http://www.bombaphg.gov.my)

Kebakaran di Bangunan Tinggi

Sekiranya anda tinggal disebuah pangsapuri atau rumah pangsa adalah wajar untuk anda mengetahui garis panduan keselamatan kebakaran yang berikut.


Lif

Jangan sekali-kali menggunakan lif semasa kebakaran kerana kemungkinan besar ianya tidak boleh digunakan. Sekiranya lif anda berhenti di tingkat yang terbakar, asap dan haba akan memasuki ruang lif dan anda mungkin terbunuh. Selain itu,anda mungkin terperangkap didalam lif disebabkan oleh bekalan elektrik terputus.

Anda hendaklah menggunakan tangga kerana ianya selamat. Tangga kecemasan direka bentuk untuk melindungi penghuni-penghuni ketika melepaskan diri semasa kebakaran.

Tindakan Jika Terperangkap

Sekiranya asap atau api menghalang laluan kecemasan anda, pintu serta tempat-tempat yang terbuka hendaklah ditutup bagi menghalang kemasukan api.

Sekiranya anda berada di tingkat dua atau lebih maka jangan sekali-kali terjun ke bawah melalui tingkap. Hubungilah pihak bomba dengan segera. Maklumkan kedudukan anda kepada pengawai bilik kawalan balai bomba. Jangan letakkan telefon sehingga mendapat kebenaran daripada pengawai bilik kawalan bomba.

Cuba dapatkan perhatian pasukan bomba dengan mengibarkan sehelai kain putih atau mengunakan cahaya lampu picit bagi mendapatkan perhatian.

Sekiranya tingkap boleh dibuka, buka sedikit di bahagian atas dan bahagian bawahnya. Dengan berbuat demikian udara bersih akan masuk melalui bawah dan asap akan keluar melalui bahagian atas tingkap yang telah di buka. Janga pecahkan tingkap. Jika asap masuk ke dalam bilik, tutup tingkap dengan segera.

Ketahui Arah untuk Dituju

Dalam sesetengah pangsapuri yang tinggi, tindakan paling selamat apabila terdengar loceng keselamatan berbunyi adalah dengan menunggu didalam pangsapuri anda sehingga pasukan Bomba sampai. Namun begitu, terdapat pangsapuri yang mempunyai pelan pengungsian bangunan yang memerlukan anda untuk pergi dan berkumpul ditempat yang selamat (safe zone) sehingga ketibaan pasukan bomba untuk mengawal tindakan pengungsian bangunan.

Adakah perbincangan dengan pihak pengurusan bangunan ataupun dengan Jabatan Bomba berhubung dengan perkara ini supaya anda tahu cara untuk bertindak lebih awal.

Pihak pengurusan bangunan anda mesti menampal pelan pengungsian bangunan pada tempat-tempat yang mudah dilihat oleh semua penghuni bangunan.

Loceng Penggera Kecemasan

Bagi tempat tinggal yang dilengkapi dengan penggera kebakaran, sekiranya anda terdengar loceng penggera kecemasan berbunyi di bangunan anda, patuhi arahan-arahan tersebut dan anda mungkin dimaklumkan supaya tidak panik.

-Bergerak secara berhati-hati dengan memeriksa kepanasan setiap pintu yang anda temui serta kadar asap diruang tangga dan koridor. Sekiranya terdapat asap,cari jalan keluar yang lain.

-Sekiranya anda gagal menemui jalan keluar yang lain, kembali semula ke bilik asal anda. Lindungilah diri anda daripada asap dan tunggu sehingga anda diselamatkan.

-Semasa anda keluar, pastikan semua pintu di belakang anda di tutup bagi mengelakkan asap atau api merebak.

-Sekiranya anda membuat keputusan untuk tidak keluar, ikutilah langkah-langkah keselamatan. Sentiasa berada dalam keadaan tenang serta lindungi diri anda daripada asap disamping menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan kedudukan anda.

-Kerja menyelamat mangsa di bangunan tinggi mungkin mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, anda perlu tenang dan bersabar.

Sentiasa Bersedia

-Biasakan diri anda dengan bunyi loceng kecemasan bangunan anda.
-Kenalpasti kedudukan loceng kecemasan dibangunan serta cara untuk menggunakannya.
-Ketahui sekurang-kurangnya dua jalan keluar untuk melepaskan diri termasuk tingkap-tingkap serta biasakan diri anda dengan semua jalan keluar.
-Ketahui jalan terdekat menuju jalan pelepasan diri supaya anda mudah mencarinya walaupun dalam keadaan gelap.
-Pilih satu tempat untuk berkumpul diluar bangunan supaya anda dan semua ahli keluarga berkumpul selepas keluar.

Langkah Memastikan Keselamatan Bangunan

Loceng Kecemasan, Lampu Kecemasan, Sistem Pancuran Basah/ Kering

Kenalpasti siapa yang bertanggungjawab bagi menjalankan tugas-tugas penyelenggaraan keatas sistem-sistem keselamatan di bangunan anda seperti pintu api, loceng kecemasan, lampu kecemasan dan sistem pancuran basah/kering. Sekiranya anda mendapati sistem keselamatan ditempat tinggal anda rosak, buatlah aduan mengenai perkara tersebut dengan segera. Jika aduan anda tidak dilayan, maka anda bolehlah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia atau mana-mana Balai Bomba yang berhapiran.

Pastikan tiada sebarang peralatan keselamatan dihalang sama ada peralatan yang terdapat di dalam ataupun di luar tempat tinggal anda.

Laluan-Laluan Keluar

Jangan sesekali anda mengunci ataupun menghalang jalan-jalan pelepasan diri, pintu keluar ataupun tangga jalan keluar.

Pastikan pintu-pintu rintangan api tidak terhalang dan sentiasa tertutup kerana ia melambatkan kemerebakan api dan asap jika berlaku kebakaran.


Sources: BOMBA PAHANG ( http://www.bombaphg.gov.my)

Tatacara Pengunsian Rumah

Kepentingan

Adakah anda dan keluarga anda tahu CARA untuk menyelamatkan diri dengan cepat dan selamat jika kebakaran berlaku? Apakah tindakan anak anda jika mendengar jeritan API....! API....! API....!?

Malang sekali, ramai yang tidak tahu bagaimana untuk bertindak jika berlakunya kebakaran. Mereka mungkin terkejut dengan asap tebal, menjadi kelam kabut ataupun takut bertindak. Fenomena ini adalah reaksi biasa tetapi anda boleh mengelakkan perkara ini daripada berlaku.

Menyelamatkan diri semasa kebakaran bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Ia memerlukan perancangan awal. Kekerapan mengadakan latihan akan menentukan kewajaran tindakan yang bakal diambil oleh ahli keluarga anda semasa kebakaran.

Merancang Pelan Menyelamatkan Diri

Lukiskan pelan lantai rumah anda. gunakan kertas graf ataupu kertas grid (yang di bekalkan di belakang buku ini) untuk melukis pelan rumah anda.

Lukis seluruh struktur pelan rumah. Lukiskan kedudukan semua tingkap, pintu, tangga, lorong dan juga halangan-halangan seperti meja makan, sofa dan lain-lain.

Tunjukkan dua jalan keluar dari setiap bilik iaitu jalan keluar utama dan jalan keluar alternatif. Kenal pasti sekurang-kurangnya dua jalan keluar dari setiap bilik dan tunjukan ia di dalam pelan. Api yang merebak sukar di ramal dan pintu keluar utama mungkin terhalang oleh api dan asap. Oleh itu anda terpaksa gunakan jalan alternatif. Setiap ahli keluarga anda juga perlu tahu jika pintu keluar utama terhalang mereka perlu keluar melalui jalan alternatif.

Bagi rumah yang jenis dua tingkat, tingkap di tingkat atas boleh dijadikan jalan keluar altenatif. Anda tidak digalakan memasang geriji. Jika geriji dipasang ianya hendaklah dari jenis yang boleh di buka.

Pamerkan pelan kecemasan kebakaran rumah dan nombor talian kecemasan bomba berhampiran telefon anda supaya pebantu rumah dan para tetamu dapat melihat dan memahaminya.

Sentiasa kemaskini pelan kecemasan anda mengikut perubahan yang berlaku dalam rumah anda. Anda dinasihatkan supaya menempatkan mereka yang kurang upaya (kanak-kanak, orang tua dan orang cacat) di tingkat bawah. Perancangan khas perlu bagi kumpulan ini.

Ketahui Jalan Keluar Kecemasan dan Jauhkan dari Halangan

Pastikan setiap jalan keluar boleh digunakan pada setiap masa. Adakah anak anda boleh membuka pintu ataupun tingkap dengan sendiri? Adakah tangga atau laluan kecemasan bebas dari halangan?

Dalam kebanyakkan kes, tingkap merupakan jalan keluar alternatif. Oleh itu pastikan tingkap rumah anda tidak terhalang oleh perkakas rumah ataupun objek lain.
Pastikan tingkap anda dari jenis yang boleh dibuka dan cukup besar untuk dilalui semasa kecemasan.

Pastikan tingkap anda dipasang dengan system penggera keselamatan boleh dibuka secara mudah semasa kebakaran.

Pastikan pintu yang dimangga atau dikunci boleh dibuka oleh setiap ahli keluarga anda. Setiap ahli keluarga perlu mengetahui dengan jelas dimana semua kunci pintu disimpan.

Sekiranya wujud halangan pada jalan keluar kecemasan, pastikan ianya dialihkan segera.

Kenalpasti Tempat Berkumpul

Pilih satu lokasi diluar rumah anda yang akan menjadi tempat berkumpul sekiranya berlaku kebakaran. Tandakan tempat berkumpul tersebut didalam pelan pengunsian rumah anda. Dengan berkumpul, anda boleh memastikan tiada ahli keluarga yang terperangkap. Tempat berkumpul yang sesuai ialah di halaman depan rumah.

Sekiranya anda berada ditempat berkumpul, jangan sekali-kali masuk semula kedalam rumah bagi mengelakkan dari terperangkap. Tunggu sehingga bantuan tiba.


Sources: BOMBA PAHANG (ww.bombaphg.gov.my)

Tips Semasa Kebakaran

Apabila anda berusaha menyelamatkan diri semasa kebakaran, anda perlulah mengambil langkah yang betul dan tindakan yang tepat untuk menyelamatkan nyawa anda dan keluarga. Perbincangan seterusnya akan tertumpu kepada langkah yang perlu diambil untuk tujuan tersebut.

Menutup Pintu

Sesetengah keluarga lebih suka membiarkan pintu bilik tidur anaknya didalam keadaan terbuka semasa anaknya tidur pada waktu malam. Alasannya agar mereka dapat mendengar suara anak mereka.
Pintu yang terbuka akan mempercepatkan api, asap dan haba merebak kedalam bilik-bilik tersebut sekiranya berlaku kebakaran. Oleh yang demikian adalah digalakkan supaya anda menutup pintu semua bilik agar anda mempunyai lebih masa untuk menyelamatkan diri.

Kepanasan Pintu Sebelum Dibuka

Apabila hendak membuka pintu ruang yang terbakar, anda anda akan terdedah kepada bahaya daripada haba, asap dan lidah api yang boleh mendatangkan kecelakaan.
Sekiranya anda terperangkap di dalam bilik semasa kebakaran, sebelum membuka pintu anda hendaklah merasai kehangatan daun pintu, tombol dan bingkai pintu dengan menggunakan belakang tangan. Sekiranya daun pintu atau tombol tersebut terasa panas, jangan buka pintu dan carilah jalan alternatif.

Sekiranya daun pintu tersebut tidak panas, anda hendaklah melutut dan melekapkan bahu ke daun pintu terlebih dahulu sebelum membuka pintu secara perlahan-lahan dan berhati-hati. Tindakan ini perlu diambil bagi mengelakkan serbuan lidah api dan asap yang biasanya memenuhi bahagian bahagian atas ruang.

Jika haba dan asap mula memasuki bilik, tutup pintu rapat-rapat dan tutup semua ruang atau lubang dibawah pintu dengan menggunakan tuala, cadar, selimut dan apa sahaja terdapat didalam bilik tersebut.

Menyelamatkan Diri melalui Tingkap

Sekiranya laluan utama terhalang oleh api dan asap, anda boleh berusaha menyelamatkan diri melalui tingkap. Sebelum membuka tingkap, pastikan pintu bilik tertutup rapat bagi mengelakkan api dari merebak sekiranya anda berada ditingkat satu, cuba turun dengan cara yang selamat bagi mengelakkan kecederaan. Keluarkan kaki dan cuba rendahkan diri lalu keluar melalui tingkap secara membelakang. Bergayut seketika pada sisi tingkap dan kemudian terjun.

Anak-anak boleh dikeluarkan dengan cara menghulurkan mereka ke bawah sekiranya ada orang yang membantu. Jika tiada, cuba turunkan anak anda ke paras bawah sejauh yang mungkin dengan berhati-hati. Namun begitu, jangan anda terjun dahulu dan meninggalkan anak-anak dengan tanggapan mereka akan mengikut anda. Sekiranya mereka enggan terjun, tindakan susulan sudah terlewat.

Tindakan Sekiranya Terperangkap

Sekiranya anda berada di paras melebihi tingkat satu, anda tidak boleh menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap kecuali turun menggunakan tangga, melalui beranda, pokok, garaj kereta ataupun tunggu sehingga ketibaan anggota bomba untuk menyelamatkan anda.

Sekiranya tingkap boleh dibuka, buka sedikit di bahagian atas dan bahagian bawah tingkap. Dengan berbuat demikian udara bersih dapat akan masuk melalui bawah dan asap akan keluar melalui bahagian atas yang telah dibuka.

Tutup ruang-ruang dibawah pintu denga menggunakan cadar, selimut, tuala dan sebagainya bagi mengelakkan asap masuk ke dalam bilik. Sekiranya terdapat telefon atau telefon bimbit di dalam bilik, segeralah hubungi bomba atau jiran terdekat.

Maklumkan kedudukan anda untuk membolehkan tugas menyelamat dilakukan dengan segera. Beri isyarat dengan berdiri berhampiran tingkap dan suluh dengan lampu picit, atau kibarkan kain bewarna putih/terang agar pasukan penyelamat dapat mengesan kedudukan anda.

Merangkak di bawah Asap

Semasa kebakaran, udara panas dan asap akan memenuhi ruang atas bilik manakala ada sesetengah gas beracun akan turun ke lantai. Udara yang bersih akan berada di ZON SELAMAT untuk bernafas iaitu di bahagian satu hingga dua kaki (30cm hingga 60cm0 dari paras lantai.

Semasa berusaha menyelamatkan diri, jika laluan utama sudah dipenuhi asap, cuba cari laluan lain. Sekiranya tiada pilihan, ikut laluan utama dengan cara merangkak dan pastikan kepala berada di paras ZON SELAMAT.

Pakaian Terbakar

Sekiranya pakaian anda terbakar, berhenti dan jangan lari kerana ini akan memarakkan api tersebut. Rebahkan diri dan tutup muka dengan kedua belah tangan dan berguling diatas lantai bagi memadamkan api tersebut. Anak-anak anda perlulah diajar cara tersebut dan hendaklah dilatih selalu.

Jika anda melihat orang lain terbakar,bantulah mereka. Sekiranya mereka tidak merebahkan diri, anda hendaklah merebahkan mereka atau selimutkan dengan kain gebar (selimut) atau guni basah bagi memadamkan kebakaran tersebut.


Bantuan Kecemasan akibat Kecederaan/Kelecuran


Kelecuran yang disebabkan kebakaran perlulah diberi rawatan segera. Jangan sapukan minyak urut, mentega, kicap dan sebagainya kerana ini akan memburukkan lagi kecederaan tesebut.

Kelecuran

Melecur mempunyai 3 tahap, iaitu :

Melecur Darjah Pertama
Kelecuran sedikit yang melibatkan kebakaran kulit dibahagian luar sahaja.

Melecur Peringkat Kedua
Kelecuran kulit (blistered skin) yang serius dan memerlukan rawatan segera dari mereka yang terali.

Melecur Darjah Ketiga
Kelecuran yang lebih serius melibatkan tisu-tisu didalam badan yang memerlukan rawatan kecemasan dari pegawai perubatan dengan segera.

Rawatan Awal

Untuk melecur darjah pertama dan kedua, sejukkan bahagian melecur dengan mengalirkan air selama 10-15 minit. Langkah ini akan menurunkan suhu permukaan kulit, mengelakkan melecur lebih besar dan mengurangkan kesakitan. JANGAN GUNAKAN AIS!

Untuk melecur darjah ketiga, tutup bahagian yang melecur dengan menggunakan kain yang tidak berbulu. Tunggu sehingga bantuan perubatan sampai. Baringkan mangsa dan jangan buka pakaian kerana ia mungkin terlekat pada bahagian kulit yang melecur.


Sources: BOMBA PAHANG (http://www.bombaphg.gov.my)

BOMBA - Info Api

Info Api


Dengan memahami bagimana kebakaran berlaku,para pakar dapat mencari jalan atau kaedah untuk memadamkannya. Oksigen berada disekeliling kita dan sebahagian besar bahan boleh menjadi bahan api seperti kayu, pekakas rumah, kertas, gas memasak dan lain-lain.

Kebakaran biasanya berlaku disebabkan oleh kelalaian manusia, kerosakan makanikal atau elektrik ataupun kejadian semulajadi (kilat) yang menyatukan oksigen, bahan dan haba bagi mewujudkan api. Api boleh dipadamkan dengan mengeluarkan oksigen, mengurangkan sahu atau kepanasan bahan ataupun memutuskan rangkaian tindakan berantai.

Bagaimana Api Membunuh

Salah satu cara bagaimana kematian akibat kebakaran boleh berlaku ialah melecur yang teruk. Bagaimanapun berdasarkan statistik, hanya satu perempat mangsa mati akibat melecur. Manakala selebihnya mati akibat terhidu gas-gas merbahaya yang terdapat dalam asap ataupun kerana kekurangan oksigen.

Kekurangan Oksigen

Apabila kebakaran berlaku, api akan merebak dengan cepat dan menjadikan rumah anda tidak selamat. Pada keadaan biasa, kandungan oksigen di dalam udara adalah 21%.
Semasa kebakaran, kandungan oksigen akan berkurangan dengan cepat dan sekiranya kandungan ini jatuh diparas bawah 17%, sesiapa sahaja yang menyedut udara itu akan mengalami kesukaran untuk berfikir secara waras dan tidak dapat mengawal pergerakan otot-otot. Fikiran yang bercelaru akan menyukarkan tindakan untuk melepaskan diri dari api.

Apabila kandungan oksigen di persekitaran jatuh diantara paras 10% hingga 12%, seseorang itu akan pengsan. Selepas 4 hingga 6 minit tanpa oksigen, seseorang itu akan mengalami kematian otak dan seterusnya menyebabkan kematian.

Asap Beracun

Asap merupakan satu punca kematian utama akibat api. Asap yang mengandungi gas beracun akan membunuh anda terlebih dahulu sebelum lidah api mula membakar.
Kebanyakan kematian akibat kebakaran dirumah berlaku dimalam hari iaitu apabila mangsa sedang tidur.

Sekiranya anda menyedut gas beracun ketika sedang tidur, anda mungkin tidak dapat bangun. Anda mungkin akan rebah sekiranya terjaga dari tidur akibat terhidu gas beracun tersebut. Pada umumnya terdapat empat jenis gas beracun yang wujud dirumah.

-Karbon monoksida ialah gas beracun yang mangurangkan gas beracun yang terdapat dalam semua jenis kebakaran.

-Hidrogen sinida merupakan gas beracun yang dihasilkan oleh kebakaran nilon, sutera dan beberapa jenis plastik (bahan yang dapat dalam cadar, kusyen, langsir, dan pakaian)

-Hidrogen klorida menyebabkan gatal pada mata dan tekak.meningkatkan kadar peanfasan dan mengaburkan mata semasa cuba melepaskan diri dari kebakaran.

-Karbon dioksida dalam udara menyebabkan kita bernafas secara cepat dan sekaligus meningkatkan risiko menyedut gas beracun yang terlerai dari kebakaran
Kehadiran asap juga akan mengurangkan kadar ketelusan cahaya dan jarak penglihatan serta menyebabkan mata merasa gatal.

Haba

Api akan menghasilkan haba yang tinggi kadang kala melebihi 1,100F (600C). yang boleh menyebabkan kebakaran pada kulit yang terdedah ataupun tisu. Lebih memburukan keadaan, ianya akan melumpuhkan organ dalam badan akibat terdedah kepada haba yang tinggi.

Menyedut udara yang terlalau panas boleh mempercepatkan kerosakan pada system penafasan. Sistem pengimbangan suhu badan semulajadi, tidak berupaya mengimbangi kenaikan suhu secara mendadak dan jika terperankap di dalam kebakaran, seseorang itu akan pengsan.

Langkah Keselamatan

Anda mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada kebakaran jika dibuat persediaan awal dan bertindak dengan cepat ketika kebakaran. Disamping itu, jika rumah anda dipasang dengan alat pengesan asap ianya dapat memberi amaran awal apabila berlaku kebakaran dan membolehkan anda mengambil tindakan yang betul dengan segera.

Sources: BOMBA PAHANG (http://www.bombaphg.gov.my)