Tuesday, March 13, 2012

Kebakaran di Bangunan Tinggi

Sekiranya anda tinggal disebuah pangsapuri atau rumah pangsa adalah wajar untuk anda mengetahui garis panduan keselamatan kebakaran yang berikut.


Lif

Jangan sekali-kali menggunakan lif semasa kebakaran kerana kemungkinan besar ianya tidak boleh digunakan. Sekiranya lif anda berhenti di tingkat yang terbakar, asap dan haba akan memasuki ruang lif dan anda mungkin terbunuh. Selain itu,anda mungkin terperangkap didalam lif disebabkan oleh bekalan elektrik terputus.

Anda hendaklah menggunakan tangga kerana ianya selamat. Tangga kecemasan direka bentuk untuk melindungi penghuni-penghuni ketika melepaskan diri semasa kebakaran.

Tindakan Jika Terperangkap

Sekiranya asap atau api menghalang laluan kecemasan anda, pintu serta tempat-tempat yang terbuka hendaklah ditutup bagi menghalang kemasukan api.

Sekiranya anda berada di tingkat dua atau lebih maka jangan sekali-kali terjun ke bawah melalui tingkap. Hubungilah pihak bomba dengan segera. Maklumkan kedudukan anda kepada pengawai bilik kawalan balai bomba. Jangan letakkan telefon sehingga mendapat kebenaran daripada pengawai bilik kawalan bomba.

Cuba dapatkan perhatian pasukan bomba dengan mengibarkan sehelai kain putih atau mengunakan cahaya lampu picit bagi mendapatkan perhatian.

Sekiranya tingkap boleh dibuka, buka sedikit di bahagian atas dan bahagian bawahnya. Dengan berbuat demikian udara bersih akan masuk melalui bawah dan asap akan keluar melalui bahagian atas tingkap yang telah di buka. Janga pecahkan tingkap. Jika asap masuk ke dalam bilik, tutup tingkap dengan segera.

Ketahui Arah untuk Dituju

Dalam sesetengah pangsapuri yang tinggi, tindakan paling selamat apabila terdengar loceng keselamatan berbunyi adalah dengan menunggu didalam pangsapuri anda sehingga pasukan Bomba sampai. Namun begitu, terdapat pangsapuri yang mempunyai pelan pengungsian bangunan yang memerlukan anda untuk pergi dan berkumpul ditempat yang selamat (safe zone) sehingga ketibaan pasukan bomba untuk mengawal tindakan pengungsian bangunan.

Adakah perbincangan dengan pihak pengurusan bangunan ataupun dengan Jabatan Bomba berhubung dengan perkara ini supaya anda tahu cara untuk bertindak lebih awal.

Pihak pengurusan bangunan anda mesti menampal pelan pengungsian bangunan pada tempat-tempat yang mudah dilihat oleh semua penghuni bangunan.

Loceng Penggera Kecemasan

Bagi tempat tinggal yang dilengkapi dengan penggera kebakaran, sekiranya anda terdengar loceng penggera kecemasan berbunyi di bangunan anda, patuhi arahan-arahan tersebut dan anda mungkin dimaklumkan supaya tidak panik.

-Bergerak secara berhati-hati dengan memeriksa kepanasan setiap pintu yang anda temui serta kadar asap diruang tangga dan koridor. Sekiranya terdapat asap,cari jalan keluar yang lain.

-Sekiranya anda gagal menemui jalan keluar yang lain, kembali semula ke bilik asal anda. Lindungilah diri anda daripada asap dan tunggu sehingga anda diselamatkan.

-Semasa anda keluar, pastikan semua pintu di belakang anda di tutup bagi mengelakkan asap atau api merebak.

-Sekiranya anda membuat keputusan untuk tidak keluar, ikutilah langkah-langkah keselamatan. Sentiasa berada dalam keadaan tenang serta lindungi diri anda daripada asap disamping menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan kedudukan anda.

-Kerja menyelamat mangsa di bangunan tinggi mungkin mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, anda perlu tenang dan bersabar.

Sentiasa Bersedia

-Biasakan diri anda dengan bunyi loceng kecemasan bangunan anda.
-Kenalpasti kedudukan loceng kecemasan dibangunan serta cara untuk menggunakannya.
-Ketahui sekurang-kurangnya dua jalan keluar untuk melepaskan diri termasuk tingkap-tingkap serta biasakan diri anda dengan semua jalan keluar.
-Ketahui jalan terdekat menuju jalan pelepasan diri supaya anda mudah mencarinya walaupun dalam keadaan gelap.
-Pilih satu tempat untuk berkumpul diluar bangunan supaya anda dan semua ahli keluarga berkumpul selepas keluar.

Langkah Memastikan Keselamatan Bangunan

Loceng Kecemasan, Lampu Kecemasan, Sistem Pancuran Basah/ Kering

Kenalpasti siapa yang bertanggungjawab bagi menjalankan tugas-tugas penyelenggaraan keatas sistem-sistem keselamatan di bangunan anda seperti pintu api, loceng kecemasan, lampu kecemasan dan sistem pancuran basah/kering. Sekiranya anda mendapati sistem keselamatan ditempat tinggal anda rosak, buatlah aduan mengenai perkara tersebut dengan segera. Jika aduan anda tidak dilayan, maka anda bolehlah membuat aduan rasmi kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia atau mana-mana Balai Bomba yang berhapiran.

Pastikan tiada sebarang peralatan keselamatan dihalang sama ada peralatan yang terdapat di dalam ataupun di luar tempat tinggal anda.

Laluan-Laluan Keluar

Jangan sesekali anda mengunci ataupun menghalang jalan-jalan pelepasan diri, pintu keluar ataupun tangga jalan keluar.

Pastikan pintu-pintu rintangan api tidak terhalang dan sentiasa tertutup kerana ia melambatkan kemerebakan api dan asap jika berlaku kebakaran.


Sources: BOMBA PAHANG ( http://www.bombaphg.gov.my)

No comments:

Post a Comment