KADAR kemalangan di rumah meningkat setiap tahun dan ada membabitkan kematian. Ini amat membimbangkan dan jika dibiarkan, jumlahnya sama seperti kemalangan jalan raya.
Persoalannya, adakah kemalangan yang berlaku di rumah ini disebabkan kecuaian manusia atau kelemahan reka bentuk? Jawapannya sukar ditentukan namun jika kerana kegagalan reka bentuk maka arkitek atau jurureka dalaman wajar bertanggungjawab.
Berbeza dengan negara maju yang memberi penekanan kepada reka bentuk selamat bangunan, kebanyakan kemalangan di negara ini disebabkan kecuaian manusia. Antara kemalangan utama di rumah adalah jatuh, kebakaran dan kejutan elektrik. Kemalangan begini berkait dengan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat soal keselamatan diri dan persekitaran di samping kurang penyelenggaraan selain kedudukan peralatan yang mengundang kecelakaan.
Keselamatan di kediaman:
Kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa, maka penting bagi kita menitikberatkan keselamatan. Ia lebih penting kepada mereka yang mempunyai anak kecil dan aspek keselamatan seharusnya diberi keutamaan. Ini kerana, kanak-kanak tidak boleh membuat
pertimbangan wajar dan tanpa pengawasan, kecelakaan boleh berlaku.
Dalam aspek reka bentuk dan keperluan seni bina, beberapa peraturan seperti yang tercatat dalam undang-undang kecil bangunan perlu dipatuhi. Jika tidak, ini bermakna rumah kediaman berkenaan tidak layak memperoleh Sijil Layak Menduduki atau Certificate of Fitness(CF).
Keselamatan rumah kediaman boleh dibahagikan melalui ruang yang ada di dalamnya. Setiap ruang mempunyai peranan dan memerlukan perhatian reka bentuk demi jaminan keselamatan penggunanya.
Berikut disenaraikan beberapa panduan yang boleh dijadikan kaedah mengelak kediaman menjadi perangkap maut atau mengundang kecederaan kepada penghuni serta tetamu:
1. Ruang Dapur
Ruang dapur amat penting kerana ia nadi kepada institusi
kekeluargaan. Sebarang aktiviti di sini membabitkan penggunaan
peralatan, tenaga elektrik selain banyak berlaku pergerakan di ruang
ini. Justeru, beberapa syarat keselamatan perlu dipatuhi antaranya;
* Fikirkan reka bentuk dapur selamat ketika merancang pelan pembentukannya. Disebabkan kemalangan kerap berlaku di dapur, dinasihatkan sediakan ruang secukupnya untuk memasak. Ruang ini sepatutnya dekat dengan sinki supaya periuk panas mudah
dipindahkan.
* Ruang penyimpanan tidak sepatutnya dirancang terlalu tinggi atau sangat rendah yang memungkinkan ia sukar digapai atau menyimpan barang.
* Lantai dapur dipastikan sentiasa bersih. Lap dengan segera jika tertumpah cecair. Lantai yang basah dan licin boleh menyebabkan mudah tergelincir lalu cedera. Kemasan lantai dicadangkan adalah daripada material tahan geseran bukan kemasan licin.
* Ketinggian permukaan kerja atau meja harus sesuai ukuran orang dewasa. Jangan terlalu rendah bagi mengelak kanak-kanak mencapai peralatan. Ketinggian sesuai penting bagi mengelakkan kita membongkok ketika bekerja.
* Pilih permukaan kerja jenis tahan hentakan dan suhu tinggi. Hindari rekaan berbucu yang menyebabkan kecederaan akibat terhantuk atau terlanggar.
2. Ruang tamu dan bilik tidur
Kedudukan perhiasan dan peralatan penting dalam mengelakkan kecelakaan.
* Pastikan permaidani di laluan dan hujung pintu tidak terkelepet pada bucunya bagi mengelak masalah kaki tersangkut lalu jatuh.
* Elak hamparan ambal di lantai licin. Lekat atau tampal pita penahan geseran di permukaan bawahnya supaya selamat.
* Susunan perabot harus mengambil kira laluan ke setiap ruang supaya tidak menghalang aliran pergerakan.
* Setiap ruang seharusnya menerima pengudaraan dan pencahayaan yang cukup agar dilihat segar.
* Jangan letak sebarang bahan mudah terbakar, misalnya, lilin berhampiran tirai dan langsir.
* Perbezaan ketinggian lantai ruang tamu harus dibuat secara teliti. Ini penting bagi mengelakkan kemalangan akibat kegagalan penghuni melihat perbezaan ketinggiannya. Cara menghindari kemalangan adalah dengan mengetengahkan kemasan lantai yang mudah dibezakan ketinggiannya.
* Pastikan reka bentuk perabot tidak berbucu tajam kerana ia mengundang bahaya kepada pengguna terutama kanak-kanak. Pastikan juga tidak ada reka bentuk yang membolehkan kanak-kanak memanjat, bahan mudah pecah yang mengundang kecederaan
manakala binaan kolam tanpa penghadang punca kanak- kanak lemas. Mereka boleh lemas hanya dengan kedalaman air tiga sentimeter.
3. Bilik air
Ini ruang paling berisiko kerana ia sentiasa lembap, licin di samping perkakasan keras yang mampu mencederakan tubuh.
* Pilih kemasan lantai tahan geseran untuk elak tergelincir. Pasang getah tahan gelincir agar lantai selamat dipijak.
* Pemasangan peralatan dan kelengkapan harus menggunakan ukuran betul iaitu mengikut saiz antropometrik manusia. Ini memudahkan dari segi menggunakan dan mencapai peralatan serta kelengkapan yang dipasang. Kemalangan terjadi apabila pengguna
menghadapi kesukaran mencapai objek tinggi.
* Elak menggunakan peralatan elektrik bervoltan tinggi seperti radio, pengering rambut dan cerek pemanas air melainkan bervoltan rendah misalnya pencukur dan berus gigi elektrik.
* Pemasangan pemanas pancuran dibuat secara berhati-hati supaya tidak berlaku kebocoran. Jangan sesekali mendedahkan saluran atau punca tenaga elektrik di bilik air.
Dipetik dari akhbar Berita Minggu; 15/11/2009 Pg.10
No comments:
Post a Comment